Sunday, 31 March 2013

APA ITU RUMPAI LAUT

Rumpai laut mempunyai beberapa kegunaan kepada manusia sehari-hari. Manusia telah menggunakan rumpai laut sebagai makanan sejak berkurun-kurun. Manusia telah menyedari bahawa beberapa rumpai laut terutama alga merah dan alga perang boleh dijadikan sebahagian daripada diet. Cara memakannya berbeza-beza bergantung pada kebudayaan masing-masing. Rumpai laut boleh dimakan secara mentah, dimasak atau dikeringkan. Tumbuhan ini merupakan sumber yang baik bagi beberapa vitamin dan mineral selain mempunyai kandungan protein yang tinggi. Walaupun rumpai laut mempunyai karbohidrat yang tinggi tetapi karbohidrat ini sukar dihadamkan.

Di Hawaii, rumpai laut yang dikenali sebagai 'limu' telah menjadi makanan kegemaran sejak turun-temurun. Dua spesies yang digemari ialah Enteromorpha prolifera (alga hijau) dan Gracilaria Coronopifolia (alga merah). Di beberapa tempat di kepulauan Britain, Porphyra (alga merah) yang dikenali sebagai .purple laver' dimakan dengan beberapa cara. Alga merah ini mungkin dibasuh dan direbus untuk dijadikan kek leper yang dikenali sebagai 'laverbread'. 'Purple laver' ini juga boleh dimakan sebagai sayur atau dikeringkan dan digunakan untuk membuat 'blancmange' dan makanan pencuci mulut yang lain. Di negara-negara ini, Palmaria (alga merah) atau lebih dikenali sebagai 'dulse' masih digunakan untuk membuat roti dan makanan pencuci mulut.

Di Jepun, penyediaan makanan daripada rumpai laut merupakan satu seni. Beberapa spesies telah ditanam dan aktiviti ini merupakan tradisi yang telah lama diamalkan. Spesies Laminaria dan Alaria (atau 'kombu') dikeringkan dan dihancurkan sebelum dimakan. Tumbuhan ini turut digunakan untuk membuat teh dan kandi. Undaria atau 'wakame' ialah satu lagi kelpa yang sedap dimakan secara mentah. Porphyra digunakan untuk membuat 'nori' (kulit nipis) yang digunakan secara meluas dalam sup dan sebagai pembungkus 'sushi' (nasi rebus yang disertakan dengan ikan mentah dan landak laut).

Di Malaysia, beberapa spesies Caulerpa dan Gracilaria dimakan mentah oleh masyarakat Melayu tempatan terutamanya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Di Sabah, Eucheuma merupakan rumpai laut yang sangat digemari oleh masyarakat tempa- tan. Terdapat usaha untuk menanam genus ini secara kecil-kecilan di negeri ini. Rumpai laut juga digunakan sebagai makanan haiwan dan baja. Sebagai makanan haiwan, makroalga seperti Ascophyllum, Laminaria dan Fucus boleh diberikan kepada kambing, lembu, kuda, ayam dan babi.

Di Ireland dan Scotland terdapat industri pemprosesan rumpai laut untuk tujuan ini. Pertumbuhan haiwan ternakan boleh meningkat dengan cepat memandangkan rumpai laut kaya dengan mineral dan vitamin. Lembu yang diberi makan rumpai laut juga didapati menghasilkan susu yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi.Sekiranya ayam diberi makan rumpai laut, telur yang dihasilkan didapati mempunyai kandungan iodin yang tinggi.

Masyarakat di pinggir laut juga menggunakan rumpai laut sebagai baja.Rumpai laut yang biasa digunakan untuk tujuan ini termasuklah Fucus. Alga perang ini kaya dengan kalium, fosforus, unsur surih dan bahan pertumbuhan. Rumpai laut dibiarkan reput di ladang atau dicampurkan dengan bahan organik yang lain. Baja yang terhasil bukan sahaja memperkaya tanah dengan nutrien tetapi juga membantu dalam membaiki struktur tanah. Alga koralin seperti Lithotamnion dan Lithophyllum turut digunakan untuk meningkatkan keasidan tanah.

Rumpai laut juga banyak mempunyai kepentingan dalam bidang perubatan. Rumpai laut seperti Macrocystis, Laminaria, Fucus, Sargassum, Turbinaria, Hormophysa dan Hydroclathrus telah digunakan sejak berkurun-kurun untuk mengubati beberapa penyakit seperti goiter, disenteri, diarea dan masalah usus kecil dan pundi. Beberapa spesies rumpai laut dilaporkan mempunyai nilai antibiotik, antibakteria, antikulat, antitumor, vermifuj dan ubat cacing. Sesetengah spesies pula diketahui boleh merendahkan tekanan darah dan aras kolesterol plasma.

      Rumpai laut menghasilkan beberapa jenis bahan kimia bak kanji yang dikenali sebagai fikokoloid. Fikokoloid digunakan dengan meluas dalam industri pembuatan makanan. Kemampuannya membentuk gel walaupun pada suhu rendah menjadikan fikokoloid begitu berharga. Bahan-bahan komersil ini banyak mempunyai kegunaan dalam industri terutama sebagai bahan penebal, pengampai, penstabil dan pembentuk gel.

       Salah satu fikokoloid yang terpenting ialah algin (yang terdiri daripada asid alginik dan garamnya alginat). Sumber utama algin untuk kegunaan komersil ialah kelpa gergasi, Macrocystis. Di pantai barat Amerika Utara terutama di California, terdapat hutan kelpa yang paling luas. Ini menjadikan kawasan ini sebagai kawasan utama penghasilan kelpa yang paling luas. Ini menjadikan kawasan ini sebagai kawasan utama penghasilan algin di dunia. Kapal besar digunakan untuk menuai stip dan lamina tumbuhan ini pada kedalaman 1 hingga 2 meter di bawah permukaan air. Algin juga bolehdiperoleh dari- pada alga perang lain termasuk Laminaria.

        Algin digunakan sebagai bahan penstabil dan pengemulsi dalam pembuatan hasil tenusu seperti aiskrim dan keju. Bahan ini memberikan tekstur licin pada aiskrim dengan menghalang pembentukan molekul ais. Algin juga digunakan sebagai agen pengampai dalam pembuatan bahan pengilat, farmasi, dadah dan antibiotik. Disebabkan kemampuannya untuk memekat, algin juga digunakan dalam pembuatan berbagai-bagai hasil daripada syampu dan krim pencukur hingga kepada plastik dan pestisid. Dalam pemprosesan susu getah dan pencetakan tekstil, algin digunakan dengan meluas sebagai agen penstabil. Bahan ini juga digunakan sebagai pengemulsi dalam industri cat dan kosmetik.

      Fikokoloid kedua yang boleh diperoleh daripada rumpai laut ialah karagenan. Bahan ini diperoleh daripada alga merah seperti Chondrus ('Irish moss') di Atlantik Utara dan Eucheuma di kawasan tropika. Beberapa spesies Eucheuma telah ditanam secara meluas di Filipina. Karagenan juga boleh diekstrak daripada beberapa spesies alga merah lain seperti Hypnea dan Gigartina. Secara kimia, karagenan menyerupai agar-agar tetapi mempunyai kandungan abu yang tinggi dan memerlukan kepekatan tinggi untuk membentuk gel. Bahan ini digunakan sebagai agen penstabil dalam aiskrim, ubat gigi, sirap, ubat batuk, minuman keras dan hasil tenusu. Karagenan juga digunakan untuk membaiki tekstur roti dan sup.

      Satu lagi fikokoloid yang boleh diekstrak daripada rumpai laut ialah agar-agar. Agar-agar, dihasilkan oleh alga merah seperti Gelidium, Gracilaria, Pterocladia dan Gelidiella. Disebabkan kemampuannya membentuk jeli dengan mudah, agar-agar telah digunakan untuk melindungi ikan dan daging yang ditinkan. Selain itu, agar-agar digunakan sebagai agen penstabil dalam kosmetik dan farmasi. Bahan ini juga digunakan untuk pembuatan kertas, filem, krim pencukur dan losyen. Dalam industri pembuatan bahan kulit, agar-agar memberikan kekentalan dan kesinaran kepada kulit yang dihasil- kan. Ahli biologi menggunakan agar-agar sebagai medium untuk mengkultur bakteria dan kulat

No comments:

Post a Comment